Permainan Kabbadi merupakan satu sukan tradisional dari Asia Selatan di negara India. Perkataan Kabbadi berasal daripada perkataan Tamil iaitu “kai” dan “pidi” yang bermaksud “memegang tangan”. Permainan ini dimainkan oleh dua kumpulan yang berlainan.
Dua pasukan Kabbadi yang dibentuk terdiri daripada 7 orang pemain. Semasa bermain Kabbadi dua pasukan menduduki bahagian yang bertentangan di padang atau gelanggang. Pemain Kabbadi mengambil tempat dengan menghantar “penyerang” ke dalam bahagian kumpulan bertentangan.
Penyerang yang dihantar kepada pasukan lawan bertujuan untuk menyentuh salah seorang daripada pemain lawan sebelum berpatah balik kepada pasukannya. Penyerang haruslah menahan nafas dan melaungkan perkataan “Kabbadi” tanpa berhenti sehingga penyerang itu menghabiskan pusingan dan kembali ke dalam kumpulannya.
Perlawanan Kabbadi akan diteruskan dengan menghantar setiap pemain dari kedua-dua kumpulan masing-masing secara bergilir-gilir. Apabila penyerang yang ditahan oleh pihak lawan itu telah menyentuh garisan tengah gelanggang, maka penyerang itu selamat dan boleh meneruskan permainan. Jika penyerang berkenaan gagal untuk menyentuh garisan tengah, maka, penyerang perlu menyerah kalah dan keluar daripada permainan.
Copyright © 2025 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.