image

Sejarah kesedaran visual di Malaya dimulakan dengan penemuan lukisan-lukisan gua khususnya di Gua Tambun, Ipoh dan Gua Badak di Lenggong. Sehinggalah pada tahun 1849 apabila Abdullah bin Abdul Kadir menghasilkan ilustrasi pada buku Hikayat Abdullah, alam pelukisan visual oleh peribumi Malaya kosong sebelum itu. Beberapa orang seniman awal selepas itu seperti Mohd. Said Hussain, Saidin Yahya, Abdullah Ariff, Noa, Idris Salam, Hoessin Enas telah menghasilkan ilustrasi untuk buku-buku teks dan buku bacaan tambahan bagi kegunaan murid-murid sekolah, menyemarakkan lagi kesedaran visual di Malaya. Kemunculan media cetak seperti akhbar, majalah dan buku turut memberi peluang kepada ilustrasi sebagai katalis kesedaran visual. Berita, esei dan polemik seni yang disiarkan dalam media massa itu membantu khalayak seni untuk memahami perkembangan kesedaran visual di Malaya. Kesedaran visual semakin berkembang apabila persatuan dan pertubuhan seni muncul di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti berpameran.


Instructor Biography

Ahmad Shuhaimi Mohd. Noor, dilahirkan di Kampung Pauh, Behrang Stesen, Perak pada tahun 20 Julai 1956. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Pauh, Behrang Stesen dan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist dan Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari , Tanjong Malim sehingga tahun 1973. pada tahun 1974 hingga 1975 menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perak, Teluk Intan. Pada tahun 1976 melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan memperolehi Ijazah B.A (hons) dengan pendidikan dalam pengkhususan Seni Halus pada tahun 1980. Kemudian menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti yang sama sehingga memperoleh Med dalam bidang Kurikulum pada tahun 1997. Beliau dihadiahi Skim Latihan Kakitangan Akademik Bumiputera UPSI kumpulan pertama bagi melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah. Pada tahun 2003 beliau memperoleh Ijazah Ph.D dalam bidang Sejarah Seni di Universiti Sains Malaysia. Tumpuan minat beliau dalam bidang Sejarah Seni. Penyelidikan mengenai Tokoh-tokoh Semik, Kehidupan dan Permasalahannya di Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar pada tahun 1998 bersama pelajar-pelajar program Pendidikan Seni UPSI telah ditaja oleh Yayasan Kesenian Perak dan UPSI. Buku Aspek-aspek kesenian Islam tulisan beliau telah diterbitkan pada tahun 1995 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau telah banyak membentang kertas kerja mengenai Sejarah Seni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga adalah seorang pelukis yang telah mempamerkan lukisan-lukisannya di peringkat kebangsaan.

Copyright © 2024 MindAppz Sdn Bhd. All rights reserved.